PENYANYI Syamel memberitahu dia dimarahi oleh ibu dan bapanya gara-gara artikel gosip sebuah portal yang mengaitkan dirinya dengan alkohol.
Syamel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 24, berkata, tajuk artikel itu membuatkan ibu bapanya bimbang masyarakat akan mudah percaya dengan gosip tersebut tanpa membacanya terlebih dahulu.
"Sejujurnya, gosip tersebut tidak mencalarkan atau menjejaskan imej saya sebagai penyanyi.
"Namun ibu dan ayah ada juga marah tapi disebabkan tajuk artikel tersebut. Macam orang yang malas nak baca, mereka akan fikir benda itu betul.
"Walaupun dalam artikel tersebut dah menjelaskan gosip itu tidak betul," kata Syamel.
Syamel menyangkal dakwaan dia pergi pusat hiburan untuk berfoya-foya. Foto Instagram: @syamel_official.
Dalam pada itu, Syamel tidak menyalahkan penulis artikel tersebut kerana memahami itu adalah tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wartawan.
Bagaimanapun peserta program Akademi Fantasia All Megastar ini meminta netizen untuk tidak sekadar membaca tajuk sahaja dan membaca keseluruhan artikel sebelum membuat sebarang andaian.
"Saya faham tugas dan tanggungjawab sebagai wartawan malah saya tak salahkan artikel mahupun penulis tersebut.
"Tapi masalah netizen ini suka baca tajuk sahaja. Kemudian buat andaian sendiri.
"Bagi saya, satu kerugian pada mereka kerana mereka hanya menilai dari segi luaran," ujarnya.
Menerusi artikel itu, penyanyi lagu Hidup Dalam Mati itu dikatakan mengambil minuman keras ketika berkunjung ke sebuah kelab hiburan baru-baru ini.
Syamel bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan tujuannya mengunjungi pusat hiburan itu atas tuntutan kerja.
Posting Komentar