JOHOR BAHRU - Didakwa menganiaya pasangan terbabit, Julian Abd Razak tampil mempertahankan diri dan menceritakan apa yang berlaku dari sebelah pihaknya pula.
Dalam penjelasan yang dibuat itu, Julian menegaskan bahawa dia tidak dimaklumkan sebarang pesanan dari pasangan berkenaan untuk menjaga tiga anaknya mereka. Sebaliknya dia hanya pernah diminta untuk 'dengar-dengarkan' kalau anaknya menangis sekiranya bapa mereka tidur mati.
BERIKUT PENJELASAN DARI JULIAN ABD RAZAK
Assalamualaikum, saya sebagai jiran kepada kes tiga beradik terabai di Larkin Perdana telah membuat satu laporan polis petang 9 Ogos di Balai Polis Larkin. Tujuan saya membuat laporan ini adalah untuk menafikan kenyataan palsu itu ke atas saya dan untuk keselamatan diri saya sebagai saksi utama kejadian.
Saya merupakan seorang ibu dan mempunyai dua orang anak lelaki berumur 4 dan 2 tahun 7 bulan. Untuk pengetahuan pembaca, saya berhenti bekerja kerana ingin menjaga anak saya dan menumpukan perhatian kepada anak-anak kerana salah seorang anak saya adalah hyperaktif. Saya menyewa di rumah kedai sejak lima bulan yang lalu. Ini kerana suami saya bekerja di Singapura. Jadinya, mudah untuk suami mendapatkan pengangkutan.
Saya sudah pun membaca di media yang memaparkan tentang tiga beradik terabai dan ibu bapanya ada memberitahu pihak media bahawa mereka meninggalkan tiga orang anaknya di bawah jagaan jiran iaitu memfokuskan kepada saya. Sedangkan semasa kejadian dua hari berturut-turut itu, pasangan berkenaan tiada berpesan apa-apa kepada saya (untuk menjaga tiga anaknya).
Semasa saya muat naik kisah itu di Facebook saya adalah bertujuan memberi pengajaran. Tiada unsur fitnah dan bukan saya seorang saja muat naik kisah ini. Ada ramai lagi jiran-jiran yang menyaksikan kejadian ini. Saya akui post saya yang paling ramai dibaca netizen. Untuk mengelakkan perkara ini viral, saya pun segera memadamkannya. Tetapi tidak sangka kisah saya itu sudahpun viral.
Saya baru mengenali pasangan ini selama sebulan sejak mereka berpindah dan menyewa di sini. Saya ditugaskan oleh pemilik bilik sewa di rumah kedai ini sebagai wakilnya untuk menjaga bilik-bilik dan membersihkan kawasan ini.
Di awal perkenalan dengan ibu bapa ini, saya akui mereka sayang dengan anak-anak mereka dan saya tahu mereka hidup susah berdasarkan perkongsian cerita daripada ibu kanak-kanak berkenaan. Ramai penyewa di sini prihatin dengan kesusahan hidup mereka. Ada yang memberi makanan, ada yang bermain dengan anak-anak mereka, ada yang memberi pakaian, ubatan kalau sakit dan juga memberi wang pinjaman apabila ibu berkenaan perlukan wang selain sedikit nasihat.
Sebelum kejadian itu, saya sempat bersembang dengan ibu berkenaan. Dia memberitahu saya kononnya suaminya telahpun bekerja syif malam di kilang. Jadi, mereka menjaga anak bergilir-gilir.
Agaknya ketika ibu bekerja suami, suami yang menjaga dan malam ketika suami bekerja, si ibu yang menjaga. Ya, si ibu berkenaan ada berpesan pada saya dan katanya, "tolong dengar-dengar, takut suami tidur mati dan anak menangis."
Pada hari kejadian, saya tidak mendapat apa-apa pesanan daripada pasangan berkenaan. Saya lega kerana saya tahu bahawa suaminya ada untuk menjaga anak-anaknya pada waktu siang. Namun di waktu tengah hari, saya terdengar pinggan jatuh dan tiada suara suaminya kedengaran. Saya pun bergegas ke bilik mereka dan mengetuk pintu bilik berkali-kali.
Hanya anaknya yang berusia enam tahun membuka pintu. Apabila melihat ke dalam bilik, anak yang berusia 4 tahun dan 2 tahun terbaring di atas tilam. Saya bertanya, "mana daddy?". Anaknya menjawab, kerja. Saya mula keliru. Isterinya kata suaminya bekerja syif malam dan di waktu siang suaminya akan menjaga anak-anak.
Bapa mereka tidak ada memberitahu saya apa-apa. Apatahlah lagi menyuruh saya menjaga mereka. Saya mula melihat sekeliling. Saya nampak nasi dalam periuk disimbah kicap, dengan bilik yang bersepah sisa nasi, telefon bimbit dicas. Di atas tilam ada kesan najis air kencing. Mereka meninggalkan anak mereka tanpa pengawasan orang dewasa.
Saya meminta tolong penyewa yang berada di situ untuk menjaga mereka sementara saya menghubungi pemilik rumah sewa. Pemilik sampai dan melihat sendiri keadaan itu dan dia juga cuba menghubungi pasangan berkenaan tetapi gagal. Saya juga ada mencuba menghubungi mereka, tetapi tidak dijawab.
Beberapa penyewa di sini terkesan dengan perbuatan pasangan berkenaan, lebih-lebih lagi saya kerana saya pun ada anak dan tidak smapai hati meninggalkan anak dalam keadaan seperti itu. Selepas itu saya bersihkan bilik mereka dan beri makan kepada anak-anak mereka sebab dah lapar sangat. Jiran yang lain pun ada juga memberi makanan kepada anak-anak ini.
Saya geram dan beremosi kenapa tinggalkan anak mereka seperti itu. Saya nekad untuk melaporkan perkara itu kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Oleh kerana kredit saya habis, saya gunakan telefon bimbit pemilik rumah sewa dan menghubungi talian JKM dan talian kasih 15999. Pihak JKM kata mereka tidak dapat datang pada hari itu.
Pada hari itu, saya menunggu kepulangan pasangan berkenaan. Mereka muncul lebih kurang jam 9 malam. Tetapi isterinya naik ke atas dahulu, kemudian disusuli suaminya. Tiada sebarang reaksi di wajah mereka, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku kepada anak mereka dan anak mereka masih dalam keadaan baik. Saya tidak sempat bertemu dengan mereka kerana saya tidur awal bersama anak-anak saya.
Keesokan harinya, jam lebih kurang 6 pagi, saya dikejutkan dengan tangisan salah seorang anaknya. Anaknya yang berumur dua tahun menangis lebih kurang 30 minit tanpa henti. Saya menjenguk ke pintu bilik mereka. Kelihatan selipar ibu dan bapanya berada di luar. Saya lega, mungkin ibu bapanya tidur mati sehingga tidak sedar anak mereka menangis. Saya masuk semula ke dalam bilik.
Tetapi tangisan anak itu semakin kuat sehingga kedengaran satu rumah kedai ini. Saya mula cemas dan bergegas ke bilik mereka dan mengetuk pintu bilik berkali-kali sambil memanggil nama mereka. Tiada respon. Saya buka tombol pintu, namun berkunci dari dalam. Saya dah mula fikir kalau terjadi sesuatu pada anak mereka.
Nasib baik saya ada kunci bilik yang hampir sama dengan bilik mereka. Saya cuba membuka pintu itu dan akhirnya berjaya. Saya terkejut apabila mendapati anak-anak itu ditinggalkan lagi sama seperti semalam. Saya mula sebak, sampai hati tinggalkan anak lagi. Kali ini dengan nasi yang masih panas di atas meja. Tiada telur goreng mahupun kicap. Telefon bimbit masih dicas secara terus. Anak yang menangis tadi sudah berhenti.
Saya langsung tidak menerima sebarang pesangan dari pasangan berkenaan. Saya terkilan mereka berani meninggalkan anak mereka lagi. Tak risau ke bahaya? Anak berusia enam tahun tak tahu apa lagi, apatah lagi nak menjaga adik-adiknya yang lain. Emosi saya semakin melonjak dan kali ini anak-anak ini mesti mendapat pembelaan.
Saya meminta tolong penyewa semalam sementara saya follow up aduan yang saya jaukan di talian kasih. Syukur mereka sudah ajukan kes itu kepada JKM Johor Bahru. Kemudian saya follow up dengan pihak JKM JB dan mereka sudah menerima aduan itu. Pegawai JKM ada menyebut, adakah kes ini sama dengan kes yang berlaku di Hotel Ghazrin di mana ibunya bernama Siti Zu... dan mempunyai empat orang anak? Saya kata ye, mungkin sama sebab si ibu pun bernama Siti Zu... dan ada empat orang anak, serta kebetulan lokasi Hotel Ghazrin berada berdekatan dengan tempat ini.
Pegawai JKM kata akan datang bersama polis selepas tengah hari. Saya lega. Sementara menunggu pihak JKM, pegawai polis ada datang membuat pemantauan. Dalam masa yang sama saya pun masaklah apa-apa yang boleh dimakan oleh anak-anak pasangan itu. Saya dan jiran lain menjaga anak-anak tersebut sehingga pegawai JKM bersama polis datang.
Terkilan baru-baru ini media melaporkan kononnya anak-anak itu ditinggalkan di bawah jagaan jiran dan jiran itu juga yang membuat khianat. Kepada pembaca sekalian, buat apa saya nak khianat? Saya pun ada anak. Saya tahu rasanya sayang anak itu macam mana. Saya tidak sangka, ibu bapa itu yang dikatakan sayangkan anak sanggup abai dan tinggalkan anak dalam keadaan seperti itu. Saya juga pernah hidup susah, malah lebih susah daripada mereka tetapi saya tidak pernha meninggalkan anak dalam bilik yang kotor dengan nasi kicap dan telefon bimbit.
Ambil masa untuk berfikir dia kata anaknya berumur 6 tahun sudah boleh menguruskan adiknya. Kemudian anak yang kecil boleh pula dihantar ke pengasuh yang dibayar. Kenapa tidak hantar ketiga-tiga anaknya itu sekali? Dan bukan kali pertama mereka tinggalkan anak, sudah beberapa kali mereka buat tetapi syukur tiada apa-apa yang berlaku pada anak-anak mereka.
Ada empat orang penyewa di sini adalah suri rumah. Boleh saja mereka pesan suruh jaga. Tetapi kenapa tidak beritahu apa-apa? Senyap-senyap saja mereka suami isteri keluar bekerja. Kemudian tipu pula suaminya kerja malam. Rupanya suami isteri kerja siang.
Kalaulah mereka ada berpesan suruh saya menjaga anak-anak mereka, untuk apa saya nak buat aduan pada JKM? Untuk apa saya khianat? Saya pun ada anak.
Tetapi syukur apa yang saya buat adalah perkara betul. Anak-anak itu mendapat penjagaan sempurna di pusat perlindungan di sana dan mungkin ada makanan sedap-sedap, pakaian yang bersih, ada aktiviti untuk kanak-kanak. Kalau sakit, ada ubatan yang mencukupi. Daripada terkurung dalam bilik kotor dan tidak terurus.
Saya dikhabarkan sudah ada bukti yang kukuh melalui rakaman CCTV di rumah kedai ini. Bukti itu juga sudah diserahkan kepada pihak polis. Tunggu saja pihak polis buat siasatan.
PENJELASAN SITI ZULAIKHA SUDAH DIPADAMKAN
The Reporter sebelum ini ada menyiarkan penjelasan dari pihak Siti Zulaikha yang mendakwa mereka telah dianiaya oleh Julian. Bagaimanapun, penjelasan itu telah dibuang daripada Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Facebook Julian sehingga kini masih tidak dapat dikesan. Menurut netizen, penjelasan penafian di atas juga telah dipadamkan.
Netizen masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku. Walau bagaimanapun, netizen meminta kedua-dua pihak menyelesaikan masalah di antara mereka dengan baik.
Sumber 'Mereka tak pesan apa-apa pada saya untuk jaga 3 beradik itu' - Julian Bagaimana Menarikkan Article Pada Hari Ini . BLUE.Jangan Lupa Datang Lagi Untuk Membaca Article Yang lebih Menarik Pada Masa Akan Datang/
Posting Komentar