2) Membuktikan pembatalan materialisme dan evolusi melalui kajian saintifik
Sejak awal lagi kita telah memperkatakan tentang agama batil: iaitu materialisme. Apa yang membuatkannya begitu tersebar luas dan lebih efektif berbanding ideologi zalim yang lain ialah persembahannya di atas nama sains. Sementara syirik dilabel sebagai primitif, materialisme dan teori evolusi (walaupun pada asasnya serupa) pula memiliki aura kepuraan saintifik. Berdasarkan hal ini, adalah amat penting untuk mendedahkan bahawa materialisme dan teori evolusi pada hakikatnya adalah bercanggah dengan bidang sains dan logik akal.
Adalah amat penting untuk memerhatikan setiap dakwaan yang berakar-umbi daripada teori evolusi dan untuk memperlihatkan bahawa argumen yang dikemukakan pada hakikatnya adalah rekaan berdasarkan khayalan yang bertujuan mengeksploitasi pendapat umum. Untuk menjayakan hal ini, seseorang individu harus mengikuti perkembangan kajian saintifik kontemporari dan pembatalan dakwaan yang berdasarkan teori evolusi secara ilmiah di setiap penjuru dunia dengan memberikan sejumlah bukti yang kukuh. Bahagian terakhir buku ini mengemukakan cebisan dari bukti seperti ini.
Sebenarnya, terdapat beberapa argumen yang terhad didakwa oleh evolusionis sebagai 'bahan bukti' bagi mereka dan seimbas pandang kelihatan seperti bukti yang benar. Oleh kerana ia sering dihuraikan dengan mengaplikasikan terminologi saintifik oleh para pengarang atau jurucakap dan dipersembahkan kepada dunia umum di bawah nama sains, ia kelihatan seolah-olah suatu bukti yang terbaru. Tetapi semua kajian ini, yang sarat diisi dengan kenyataan yang tidak dapat difahami berserta istilah Latin, pada asasnya tidak mengandungi sebarang bukti yang ilmiah. Disebabkan sebahagian besar masyarakat dunia hari ini gagal melihat ketidak-rasionalan Darwinisme dan menganggapnya sebagai sebuah fakta saintifik, adalah menjadi khidmat yang penting untuk memaklumkan, mendidik dan mengingatkan orang ramai terhadap ancaman ini. Jelasnya, tugas ini menuntut komitmen yang serius: setiap individu harus mengemblengkan tenaga berkongsi memperjuangkan tugas yang julung-julung kali ini.
3) Menyampaikan hakikat ajaran agama sebenar seperti yang terkandung di dalam al-Qur'an
Di saat golongan materialis menyebarkan ideologi mereka ke atas masyarakat, mereka mengiringinya dengan tindakan yang keras dan agresif terhadap agama. Untuk menafikannya, mereka menggunakan pemahaman yang diselewengkan dan menyimpang jauh yang mereka namakan sebagai ajaran ideologi. Pemahaman ini pada asasnya adalah jauh menyimpang dari ajaran yang sebenar dengan mengadunnya dengan ramuan kejumudan dan khurafat.
Islam yang sebenar adalah amat berbeza daripada pemahaman agama kaku dan tidak bermaya yang digambarkan oleh golongan ini: dengan itu, mesej sebenar yang digariskan di dalam al-Qur'an harus dikumandangkan kepada manusia sejagat secara efektif dan dengan terperinci. Nabi Muhammad s.a.w mengingatkan para mukmin tentang manfaat pengetahuan seumpama ini dalam sabda baginda: 'Barangsiapa yang dikehendaki Allah akan kebaikan, dia akan diberikan pemahaman tentang agama'.
Al-Qur'an adalah sebuah kitab suci yang bebas daripada sebarang pertentangan. Ia adalah sebuah kenyataan yang harus disebarkan kepada umat manusia secara eksplisit dan disertai dengan buktinya sekali. Adalah juga menjadi suatu keperluan bagi umat manusia untuk mengetahui kronologi peristiwa yang berkaitan dengan wahyu di dalam al-Qur'an. Said Nurisi menekankan cara yang paling efektif membatalkan falsafah materialisme dan naturalisme adalah dengan menjelaskan hakikat kebenaran al-Qur'an:
Menentang ancaman yang paling besar hari ini ateis, anarkisme dan materialisme, di sana hanya ada satu penawar: menyebarkan kebenaran Al-Qur'an. Sekiranya tidak, haluan yang mengubah sebuah negara besar seperti China beralih menjadi komunisme dalam masa yang singkat tidak dapat diatasi semata-mata dengan tindakan politik dan material. Ia hanya dapat dimusnahkan dengan kebenaran al-Qur'an.
Orang yang mengingini iman yang teguh dan mencari senjata yang berkuasa untuk menentang ateis dan anarki harus melihat kepada Petanda Maha Agung.
Freemason, komunisme dan kekufuran terbentuk secara langsung di dalam anarkisme. Satu-satunya yang dapat berdiri kukuh menentang situasi yang mengerikan ini adalah integriti Islam yang dibina berdasarkan kebenaran di dalam al-Qur'an.
4) Menjelaskan bukti yang mengisyaratkan kewujudan Allah s.w.t.
Kewujudan Allah adalah jelas bagi sesiapa yang menggunakan akal fikirannya. Di dalalm setiap makhluk ciptaan, kebijaksanaan dan kehebatan-Nya jelas terpancar. Akan tetapi, beberapa dekad kebelakangan ini, manusia diindoktrinasi menuju penafian terhadap Allah dan sekaligus menimbulkan keraguan terhadap mereka. Selaras dengan itu, usaha yang dirintis untuk menjelaskan petanda Allah kepada manusia untuk mengikis segala prejudis yang telah berakar umbi adalah sangat penting. Ketika melakukan pelbagai kajian berkenaan makhluk hidupan secara terperinci, manusia pasti akan dapat melihat kehebatan ciptaan Allah s.w.t. Usaha yang jitu harus dilakukan untuk mendedahkan bahawa keindahan di dalam ciptaan makhluk hidupan tidak mungkin sekali-kali terjadi melalui kebetulan. Ini dapat dilakukan melalui penerbitan-penerbitan dan pameran.
Betapa ramai manusia yang lemah secara spiritual gagal bahkan untuk melihat hakikat kebenaran yang begitu jelas. Walaupun begitu, mereka ini dapat dibangkitkan dengan menjalankan usaha penyedaran yang menyeluruh. Menguja mereka dengan hakikat kesempurnaan alam ciptaan di sekeliling akan melepaskan mereka dari belenggu kekufuran dan sekaligus menimbulkan rasa tanggungjawabnya kepada Maha Pencipta dan berusaha untuk mendapatkan keredhaan-Nya.
Di dalam banyak ayat di dalam al-Qur'an, Allah mengingatkan manusia untuk memikirkan akan hakikat kejadian dan mengambil pengajaran darinya:
Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak sedikit pun? Dan Kami hamparkan bumi itu dan kami letakkan padanya gunung-gangan yang kukuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah di pandangan mata, untuk menjadi pengajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingat Allah). Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak manfa'atnya lalu Kami turunkan dengan air itu pohon-pohon dan biji-bijian tanaman yang diketam, dan pohon kurma yang tinggi-tinggi yang mempunyai mayang yang bersusun-susun, untuk menjadi rezeki bagi hamba-hamba (Kami), dan Kami hidupkan dengan air itu tanah yang mati. Seperti itulah terjadinya kebangkitan. Surah Qaf: 6-11
Satu cara lain yang berkesan untuk menentang agama batil ialah membantu manusia untuk melihat kepelbagaian ciptaan Maha Suci Allah yang terpacak di hadapan mereka. Di dalam al-Qur'an, Allah berfirman:
Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-menyebutnya (dengan bersyukur). Surah Ad-Dhuha: 11
Selaras dengan ayat ini, setiap individu mukmin harus berusaha menerangkan rahmat yang dianugerahkan Allah kepada umat manusia melalui metode dakwah yang berkesan. Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umat islam untuk melaksanakan tugas penting ini dalam sabda baginda: 'Allah dan para malaikat merahmati orang yang mengajar manusia ilmu yang bermanfaat'.
5) Menerangkan cara hidup dan akhlak muliua yang diajarkan di dalam al-Qur'an.
Al-Qur'an memerintahkan manusia agar menegakkan keadilan, berbuat baik, belas kasihan terhadap orang lain, tidak mementingkan diri sendiri, saling hormat menghormati, cinta dan mempertahankan negara, mengekalkan keamanan dan ketenteraman, meleraikan perseteruan, melindungi gologan yang lemah dan miskin, rajin berusaha dan berbuat kebajikan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. Kesan pengamalan nilai-nilai mulia seperti ini di dalam sesebuah masyarakat adalah jelas.
Disebabkan majoriti manusia gagal memahami ajaran agama sebenar seperti yang terkandung di dalam al-Qur'an, mereka harus diperlihatkan akan kebaikan dan keindahan prinsip-prinsi kehidupan yang terkandung di dalamnya. Para mukmin harus saling ingat-mengingati betapa indah dan mudah untuk hidup di bawah sinaran agama yang sebenar dan bahawa ia adalah satu-satunya konsep hidup yang paling sesuai dengan kecenderungan sifat dan fitrah manusia. Bahkan, mereka kaan mendapat bahawa ajaran Al-Qur'an adalah satu-satunya solusi agung bagi setiap permasalahan umat manusia. Allah menerangkan sebab kepada penurunan kitab suci-Nya:
Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri. Surah An-Nahl: 89
6) Ikatan dan perpaduan di kalangan mukmin
Para mukminin bukan sahaja mengabdikan diri berjihad menentang kekufuran tetap juga bersatu mempertahankan negara dan rakyat jelata dari sebarang mara merbahaya. Semakin besar jumlah mereka yang beristiqamah di jalan ini, semakin cepat kekufuran akan dibasmikan begitu juga perselisihan dan pertelingkahan di muka bumi.
Konsep amal jama'ie memberi manfaat dari sudut material dan spiritual kepada para mukminin. Di dalam banyak ayat Allah menyeru mukmin untuk bersatu-padu:
Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. Surah al-Anfal: 46
Dalam sepotong ayat lain, Allah mengingatkan mereka bahawa perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri akan mengakibatkan kerosakan di atas muka bumi:
Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (wahai orang muslim) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar. Surah Al-Anfal: 73
Seperti yang jelas di dalam ayat di atas, umat islam bertanggungjawab untuk mengelakkan konflik dan perbalahan di kalangan mereka dan dengan itu dapat bersatu untuk menentang golongan jahil yang menafikan agama Allah dan yang membawa kehancuran ke dalam masyarakat. Nabi Muhammad s.a.w. menarik perhatian kepada kepentingan berjema'ah di dalam banyak hadis baginda, seperti berikut:
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Ash'ari daripada Nabi Muhammad berkata: Orang mukmin adalah seperti bahagian sebuah binaan, masing-masing menguatkan yang lain'. Kemudian baginda merapatkan belah jari-jemarinya menunjukkan apa yang baginda maksudkan.
Ketika membantu yang lain, mereka harus memberi rangsangan dan galakan kepada yang lain ke arah kebaikan dan menghargai setiap usaha yang dilakukan. Badi'uzzaman menyatakan praktikal bantu-membantu di kalangan mukminin harus diisi dengan perasaan persaudaraan:
Wahai orang beriman! Sekiranya kamu tidak ingin jatuh ke dalam kehinaan perhambaan, sedarlah dan berlindunglah di dalam kubu Sesungguhnya mukmin adalah bersaudara... (Surah al-Hujurat: 10) untuk mempertahankan diri kamu terhadap para penindas yang mengambil kesempatan di atas perselisihan kamu! Sekiranya tidak, kamu tidak akan mampu melindungi diri dan hak-hak kamu. Sangat jelas sekiranya dua jaguh yang bertanding antara satu sama lain, bahkan seorang kanak-kanak pun mampu menewaskan mereka. Sekiranya dua pergunungan dipecahkan menjadi kecil, bahkan sebiji batu mampu merosakkan keseimbangannya dan menyebabkan yang satu naik dan yang satu jatuh. Jadi, wahai orang-orang yang beriman! Kekuatan kamu akan dimusnahkan akibat hawa nafsu dan ketidak-adilan kamu, dan kamu bahkan dapat dikalahkan oleh kuasa yang kecil. Sekiranya kamu mempunyai kepentingan di atas jema'ah, maka jadikanlah prinsip hidup kamu pegangan yang agung: 'Orang mukmin adalah seperti bahagian sebuah binaan, masing-masing menguatkan yang lain'. Dan kamu akan diselamatkan daripada kehinaan di dunia dan kemurkaan di hari akhirat.
Nasihat Badi'uzzaman tentang Kaedah Menentang Kekufuran
Di dalam banyak tulisannya, Badi'uzzaman Said Nurisi menggesa umat mukmin mengenai metodologi yang harus digunakan di dalam perjuangan menentang sistem kekufuran. Antara lainnya:
Musuh kita adalah kejahilan, pelaziman dan perselisihan. Kita akan berdiri menentang musuh-musuh ini dengan kebijaksanaan, kemahiran dan kesatuan jema'ah.
Berhadapan dengan musuh pertama, kejahilan, adalah sangat penting untuk memastikan manusia sejagat menyedari dan bersikap peka terhadap ancaman di sekeliling mereka. Di dalam sebuah masyarakat di mana sebahagian besar ahlinya terdiri daripada individu yang beragama, mereka itu adalah orang-orang yang benar beriman kepada Allah dan agama-Nya. Akan tetapi, sebahagian besar umat Islam jauh daripada menyedari perangkap yang dipasang terhadap agama dan nilai kemanusiaan. Sebagai contoh, segelintir individu terlalu jahil dengan teori evolusi dan objektifnya sehinggakan tidak ragu untuk berkata: 'Saya seorang yang beragama dan juga percaya kepada teori evolusi'. Di sana terdapat segelintir lain yang percaya kepada hal-hal khurafat seperti konsep kelahiran semula dapat diintegrasikan dengan fahaman islam. Falasi-falasi seperti ini harus dimusnahkan dan sifat jahil serta buta huruf ini harus disingkirkan secepat mungkin.
Musuh kedua yang diidentifikasi oleh Badi'uzzaman ialah, pelaziman. Iaitu pengenaan beberapa corak pemikiran menyeleweng dan cara hidup terhadap masyarakat sebagai suatu kewajipan. Sebagai contoh, teori evolusi disiarkan melalui televisyen, buku-buku teks serta sekolah-sekolah dan dipersembahkan sebagai sebuah kenyataan tanpa alternatif lain. Seperti yang ditunjukkan oleh Badi'uzzaman, teori evolusi telah dijulang di atas asas pelaziman yang merbahaya, diwajarkan dengan frasa mengelirukan seperti 'evolusi adalah sains'. Pendoktrinan terlalu kukuh sehinggakan mereka yang menolak evolusi diumpamakan menolak kemajuan sains. Berhadapan dengan dakwaan para materialis dan evolusionis ini, satu-satunya solusi yang terbaik ialah memaklumkan akan hakikat pembatalan ideologi yang merbahaya ini. Hal ini dapat direalisasikan melalui penerbitan buku-buku dan pelbagai instrumen media dan komunikasi yang membincangkan ancaman yang diakibatkan oleh teori evolusi dan falsafah materialisme.
Musuh terakhir yang diisyaratkan oleh Said Nurisi adalah perbalahan atau pun perselisihan, yang merupakan antara ancaman besar hari ini di mana kontroversi yang melibatkan pelbagai isu di kalangan manusia. Ketika mereka gagal mencapai persetujuan, isu-isu tersebut akan diperbesarkan menjadi alasan untuk berbalah sesama sendiri. Berhadapan dengan kemudaratan yang diakibatkan oleh konflik dan kehuru-haraan, kebenaran harus dinyatakan dengan jelas di bawah bukti saintifik. Berkenaan asal usul hidupan pula, akumulatif fakta yang ada harus dijelaskan dengan nyata dan terang. Hal ini dapat membuatkan para materialis dan evolusionis berpaling kepada fitrah dan kembali ke pangkal jalan.
Ketika menjalankan tindakan terhadap seluruh ancaman ini, Badi'uzzaman juga menekankan beberapa faktor yang berpotensi menyumbangkan ke aras kejayaan. Yang pertama ialah kebijaksanaan, satu konsep yang memainkan peranan penting di dalam perjuangan menentang kekufuran. Dalam konteks ini, perkataan 'kebijaksanaan' mempunyai konotasi berbeza. Menyebarluaskan kebenaran tentang ciptaan Allah adalah salah satu daripada isu yang penting dan dengan menggunakan kelancaran dan penggunana bahasa yang mudah disertai dengan ilustrasi yang mempesonakan di dalam penerbitan-penerbitan adalah suatu keperluan sekaligus membentangkan keindahan perasaan yang dialami oleh para mukmin. Hikmah di dalam penerangan lisan juga adalah sebuah manifestasi kesenian. Pengucapan, ilustrasi contoh dan penggunaan bahasa yang efektif adalah penting untuk mempengaruhi kumpulan sasaran. Bertentangan dengan evolusionis, yang menggunakan pendekatan terminologi yang rumit dan mengelirukan ketika menerangkan teori evolusi yang kononnya saintifik, bahasa yang ringkas dan mudah membuatkan orang ramai memahami pelbagai isu penciptaan dengan lebih mudah yang secara langsung berkait dengan akidah keimanan. Pengucapan yang mahir yang disebutkan oleh Badi'uzzaman adalahs ifat Allah yang dianugerahkan kepada para hamba-Nya yang ikhlas, dan keikhlasan serta kejujuran mereka terpamer di dalam gaya mereka berhujah. Mengenal pasti subjek yang harus diterangkan kepada manusia bergantung kepada tahap pemahaman dan kaedah yang digunakan untuk menerangkan kepada mereka semuanya adalah kelebihan bagi mereka yang berakal.
Kaedah terakhir yang disarankan oleh Badi'uzzaman ialah kesatuan jema'ah yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan di tanah air. Kesatuan jema'ah adalah sangat penting untuk menentang mereka yang menafikan kewujudan Allah dan yang berjuang meruntuhkan kemuliaan nilai-nilai moral. Usaha yang dilakukan untuk memusnahkan kekuatan jema'ah ini akan mengendurkan kesannya. Pelbagai alasan negatif seperti, 'Darwinisme kini tidak berpengaruh lagi' atau 'masih perlukan kita menolak Darwinisme?', sebenarnya lebih membahayakan perjuangan menentang kekufuran di mana akibatnya akan mencipta perbalahan.
Para mukmin yang ikhlas memikirkan kebaikan negara dan rakyatnya harus terus berjuang sehingga fahaman Darwinisme benar-benar lenyap dari muka bumi. Walaupun evolusionis tetap mempertahankan hujah dan argumen mereka dalam keadaan terhimpit, namun di sana masih banyak hal yang boleh dilakukan. Di saat keganasan, anarkisme dan kebencian terhadap agama telah lenyap, barulah dapat kita simpulkan bahawa sistem kekufuran ini telah musnah dari muka bumi. Di dalam al-Qur'an, Allah memerintahkan para mukminin berjihad menentang kekufuran: 'Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah, dan suspaya agama itu semata-mata bagi Allah. Surah al-Anfal: 39
BERSAMBUNG...........
Posting Komentar