SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini saya sekeluarga berpeluang menghantar ibu mentua ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, Kuala Lumpur. Pada kesempatan itu saya dapat melihat sendiri kegigihan para petugas Tabung Haji yang bekerja tanpa mengira masa dalam membantu memudahkan urusan jemaah untuk ke Tanah Suci.
Pengalaman ibu mentua menerima beberapa panggilan pada waktu malam daripada petugas terbabit untuk mengingatkan beberapa maklumat termasuk tarikh berangkat dan waktu mendaftar masuk membuktikan kesungguhan mereka dalam menyampaikan informasi.
Pujian juga harus diberikan kepada pegawai bernama Mohd. Faiz-al Mokhtar kerana sabar melayani pertanyaan berkaitan maklumat pemergian pakcik dan makcik saya ke Tanah Suci. Beliau yang dihubungi menerusi talian khas Tabung Haji sebelum ini sangat membantu, bersikap ramah dan terasa keikhlasannya dalam menjawab semua soalan yang diajukan kepadanya. Di sini terserlah sikap bertanggungjawab dan prihatin semua petugas termasuk di pusat panggilan Tabung Haji yang banyak membantu jemaah khususnya golongan warga emas. Bantuan dan peringatan diberikan amat memudahkan keluarga jemaah sebenarnya.
Segala perkhidmatan diberi sangat memuaskan cuma apa yang dikesali ialah sikap beberapa peniaga tamak yang berniaga di tapak khas di depan Kompleks Tabung Haji. Misalnya mereka mengenakan harga sesuka hati termasuk Nescafe tarik yang dijual pada harga RM3 secawan.
Dalam tinjauan saya di ruang kedai dalam kawasan Tabung Haji (bersebelahan tempat membungkus beg dan mesin ATM) pula, peniaganya menjual air tebu pada harga RM4 sebotol (berat 500 gram) yang mana harga di luar dengan isipadu sama hanya RM2.
Terdapat juga peniaga berlegar-legar di luar pagar kompleks itu yang menjual belon berkarakter kartun pada harga RM10 setiap satu sedangkan boleh dibeli pada harga RM3 sahaja di pasar malam!
Saya amat berharap pihak Tabung Haji dapat meneliti perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas peniaga-peniaga terbabit dalam masa terdekat. Sekali lagi, syabas buat petugas-petugas Tabung Haji dan semoga kebaikan anda diberi keberkatan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.
ISMAWI ISHAK
Kuala Lumpur
Sumber: Utusan Online
Sumber Tabung Haji, bertindaklah ke atas peniaga tamak, Nescafe tarik RM3 secawan Bagaimana Menarikkan Article Pada Hari Ini . BLUE.Jangan Lupa Datang Lagi Untuk Membaca Article Yang lebih Menarik Pada Masa Akan Datang/
Posting Komentar