PUTRAJAYA – Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) yang menyambut ulang tahun ke-40 penubuhannya tahun ini akan terus komited melaksanakan pelbagai aktiviti serta gerak kerja yang memfokuskan bidang kebajikan, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau yang juga Yang Dipertua BAKTI berkata badan itu akan turut memberi tumpuan kepada program lain seperti pendidikan, bencana alam, semai bakti serta aktiviti yang memenuhi keperluan anggotanya.
Berucap merasmikan laman web BAKTI baharu sempena ulang tahun ke-40 penubuhan BAKTI di Seri Perdana di sini hari ini, Rosmah berkata laman web www.bakti.org.my itu merupakan platform atau medium yang penting untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai peranan serta tugas BAKTI dalam membantu golongan sasaran.
“Laman web BAKTI yang baharu telah ditambah baik seiring dengan kemajuan teknologi maklumat bagi menjadikannya lebih interaktif dan boleh diakses menggunakan telefon pintar dan tablet.
“Hubungan anggota-anggota BAKTI dan masyarakat akan lebih erat dan juga mesra melalui penggunaan teknologi terkini,” katanya.
Rosmah turut melancarkan buku Koleksi Resipi BAKTI sempena ulang tahun itu yang mengandungi 95 resipi terdiri daripada nasi, lauk-pauk dan juadah sampingan yang menjadi kegemaran suami anggota BAKTI.
Pada majlis pelancaran koleksi resipi itu, Rosmah dibantu chef Sabri Hassan memasak ikan patin tempoyak, yang merupakan juadah kegemaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di hadapan para tetamu.
Perdana Menteri sejurus tiba di Seri Perdana pada kira-kira 1.22 tengah hari naik ke atas pentas untuk merasa lauk patin masak tempoyak yang dihasilkan menggunakan ikan patin dari Sungai Jelai, Pahang sebelum hidangan berkenaan disajikan di meja utama.
Najib kemudiannya turut menyaksikan penyampaian setem khas kenangan sempena 40 tahun BAKTI daripada Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Bhd., Datuk Mohd Shukrie Salleh kepada Rosmah.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari. – BERNAMA
Sumber Rosmah Lancar Laman Web, Buku Koleksi Resipi BAKTI Bagaimana Menarikkan Article Pada Hari Ini . BLUE.Jangan Lupa Datang Lagi Untuk Membaca Article Yang lebih Menarik Pada Masa Akan Datang/
Posting Komentar