TOKYO – JEPUN. Berpuluh anggota bomba di Jepun bertungkus lumus memadamkan kebakaran membabitkan pasar ikan terbesar di dunia dan lokasi tumpuan pelancong di ibu negara itu, lapor AFP.

Operasi memadam berdepan kesukaran ekoran jalan yang sempit serta kedudukan bangunan yang padat.

Menurut Jabatan Bomba Tokyo, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.50 petang waktu tempatan membabitkan bangunan tiga tingkat di kawasan bersebelah pasar berkenaan.

Berpuluh-puluh jentera bomba digunakan untuk memadam kebakaran yang merebak ke lima bangunan yang meliputi 300sqm.

Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini dan punca kebakaran masih tidak diketahui.

Kebakaran berlaku di pasar Tsukiji, kawasan yang dipenuhi restoran yang menyediakan makanan laut segar dan sushi.

Kebakaran berkenaan berlaku selepas Gabenor Tokyo Yuriko Koike berkata pada bulan Jun, pasar ikan yang terbesar di dunia akan dipindahkan ke lokasi baru.

Tsukiji menarik puluhan ribu pelawat setahun ke restoran yang dipenuhi dengan spesies ikan eksotik, tuna besar dan sushi segar, sebahagian daripada ledakan pelancongan yang merupakan bahagian utama rancangan ekonomi Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Koike berkata pada musim panas lalu bahawa tapak terkini itu akhirnya akan dibangunkan untuk memanfaatkan jenama Tsukiji yang diiktiraf secara global.

 
Via: Sinar