PETALING JAYA: Kecoh tentang pemilik sebuah kereta Ferrari merah yang dikatakan sering mencuci tandas masjid setiap hari selepas lelaki itu menunaikan solat sunat Dhuha.
Dalam satu posting yang dimuat naik di Facebook oleh seorang pengguna, Ally Ramly, pemilik Ferrari berkenaan telah digambarkan sebagai seorang yang ‘biasa-biasa’ dan hanya berpakaian ringkas.
Kisah, serta gambarnya sedang mencuci dinding tempat mengambil wuduk telah tular di media sosial dengan rata-rata netizen memuji kerja kebajikan yang dilakukannya lapor mStar Online.
Bagaimanapun, tidak lama selepas tersebarnya posting itu, netizen menyedari bahawa gambar kereta yang dimuat naik itu telah diambil dari Google.
Lebih mencetuskan kekecohan sesama mereka di ruangan komen apabila kereta tersebut dikatakan milik Norman KRU.
Norman, atau nama sebenarnya Norman Abdul Halim ketika dihubungi mengesahkan bahawa kereta Ferrari dalam gambar tular tersebut adalah keretanya berdasarkan nombor pendaftaran yang tertera.
“Memang kereta saya tapi saya taklah cuci masjid di Subang Jaya, jauh tu…saya tinggal di Cyberjaya.
“Gambar kereta saya tersebar dah biasa, yang luar biasa kalau kata saya cuci masjid di Subang Jaya, bukanlah saya tak boleh buat (cuci masjid) tapi Subang Jaya tu jauh sangat,” katanya.
Menurut Norman beliau kini lebih selesa menggunakan kereta biasa untuk urusan harian dan hanya memandu Ferrari tersebut sekali-sekala di kawasan tempat tinggalnya.
Mengenai nombor pendaftaran kereta yang telah tersebar, Norman mengakui agak sukar untuk menyembunyikannya memandangkan beliau sudah lama berada dalam industri hiburan tanahair.
“Bila dah lama, ada banyak benda yang tak boleh kita simpan sebagai maklumat peribadi.
“Kadang-kadang ia tersebar tanpa kita tahu, kadang-kadang ada benar, ada salah,” katanya.
Berdasarkan pemeriksaan kami, posting asal kisah ini telah dipadam tetapi sempat dikongsi di media sosial sehingga tular.
Posting Komentar