Ingat tak masa Tun Mahathir lancarkan wawasan 2020, masa admin kecik-kecik dulu memang selalulah bayangkan yang tahun 2020 nanti kat Malaysia dah ada kereta terbang, rumah atas awan dan banyak lagilah benda-benda yang canggih. Tapi sekarang, macam mustahil je benda itu semua nak berlaku, apatah lagi 2020 tinggal tiga tahun je kita nak capai.
Kalau nak maju, Malaysia sebenarnya kena ada ramai jurutera, ahli akademik dan golongan bijak pandai yang lain. Lagi bagus bila sesebuah negara ada penduduknya yang genius sebabnya mereka ni boleh dianggap sebagai pemangkin kepada evolusi dan inovasi manusia seperti apa yang dilakukan oleh Isaac Newton, Albert Einstein dan Stephen Hawking.
Kalau korang nak tahu, Malaysia pun ada je golongan genius ini, tapi entah di mana silapnya, ada dalam kalangan dorang yang sampai jadi pelacur, kena penjara dan menagih dadah. Hari ini, menerusi soscili.my, kami nak ceritakan tentang nasib pelajar-pelajar genius yang pernah menggemparkan Malaysia satu masa dahulu.
1. Sufiah Yusof: Masuk Oxford ketika usia 13 tahun tapi terjebak dalam kancah pelacuran
Kisah Sufiah yusuf memang popular bukan dekat Malaysia je, tapi sampai satu dunia heboh dengan kepintaran budak ini. Mana tidaknya, dia telah berjaya diterima masuk ke Universiti Oxford pada usia yang sangat muda, iaitu 13 tahun.
Sufiah Yusuf dan keluarganya mendapat liputan media yang luar biasa pada masa tersebut. |
Kisah genius Sufiah mula popular apabila ibunya yang berasal dari Muar, Johor dan Bapanya dari Pakistan berusaha mendapatkan biasiswa untuk anaknya melanjutkan pelajaran ke salah satu universiti yang terbaik dekat bumi.
Masa tu surat khabar dan berita pulak penuh dengan cerita kehebatannya, sampaikan semua orang nak tahu apa yang budak ini makan sampai jadi pandai, cara dia belajar, berapa jam dia tidur dan semua ini telah dijadikan contoh kepada para pelajar sekolah pada masa itu.
Namun kisah pelajar genius ini tidaklah seindah seperti yang kita semua sangkakan. Pada usia 15 tahun, Sufiah telah melarikan diri dari kampus kerana mendakwa mendapat tekanan yang hebat daripada ahli keluarga sehinggakan pelajarannya tergendala. Dia akhirnya dijumpai di Bournemouth, United Kingdom dan kemudiannya diletakkan di bawah jagaan sebuah badan kebajikan di sana.
Sufiah pernah terjebak ke kancah pelacuran selepas dua kali agal menamatkan pengajian. |
Walaupun gagal pada kali pertama, Sufiah telah diberikan peluang kedua untuk kembali menyambung pengajian sarjananya di Oxford. Namun begitu, peluang ini sekali lagi disia-siakan apabila dia berhenti pada tahun ketiga apabila penceraian berlaku di antara dia dengan suami yang dikahwini ketika usianya 19 tahun.
Semenjak daripada peristiwa ini, kehidupan Sufiah mula terumbang ambing sehinggakan dia mula terlibat dengan aktiviti pelacuran akibat daripada kesempitan hidupnya.
Melalui temuramahnya dengan program NONA pada tahun 2015, Sufiah menceritakan bahawa kehidupanya kini agak bercelaru apabila dia sering melarikan diri dan berpindah dari satu bandar ke bandar yang lain di Britain bagi mengelak dari dijejaki oleh keluarga dan pihak media.
Inilah gambar terbaru Sufiah Yusuf ketika ditemuramah oleh TV3. |
2. Shukri Hadafi: Profesor Ungku Aziz sampai ambik budak ini jadi anak angkat
Kisah Shukri ini pernah menggemparkan negara pada tahun 1976 apabila kanak-kanak berusia tiga tahun ni dah pandai baca surat khabar. Kira hebat jugaklah budak ini sebab kebiasaanya kanak-kanak umur 3 tahun masa tu sibuk main “Polis entry one two jaga” belakang rumah.
Kepandaian Shukri ini telah menarik perhatian Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz sampaikan beliau menggambil Shukri sebagai anak angkatnya. Mungkin sebab mahu melahirkan pelapis yang hebat sepertinya, Ungku Aziz telah menampung segala keperluan pembelajaran bagi membolehkan Shukri mendapat pendidikan yang baik.
Disebabkan kepandaian Shukri, Profesor Ungku Azizi ambil dia jadi anak angkat. |
Bukan setakat itu je, pengarah filem terkenal Malaya pada masa itu, Tan Sri Jins Shamsuddin juga telah mengambil dia berlakon dalam filemnya iaitu Menanti Hari Esok dengan gandingan mantap dari penghibur tanah air yang lain seperti Noor Kumalasari, DJ Dave dan Uji Rashid.
Kegemilangan dan populariti yang Shukri kecapi telah membuatkan dia lupa dan hanyut ketika zaman remaja. Akibat masalah displin yang belarutan, akhirnya dia telah dibuang sekolah.
Pada tahun 90’an, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kisah hidupnya yang bekerja sebagai penebar roti canai dan ada jugak berita kami jumpa mendakwa dia terjebak dengan najis dadah sehingga gelaran genius yang pernah dimilikinya hilang begitu sahaja.
Kenangan allahyarham Jins Shamsuddin dan Shukri Hadafi dalam filem Menanti Hari Esok. |
3. Chiang Ti Ming: Genius yang menghadapi tekanan hidup.
Kalau korang suka layan cerita “Big Bang Theory” mesti korang kenal dengan Dr Sheldon Cooper, seorang genius dekat California Institute of Technology (CalTech). Tapi kalau korang nak tahu, Malaysia lagi hebat sebenarnya sebab Chiang Ti Ming, seorang pelajar dari Malaysia telah berjaya memasuki CalTech pada usia 15 tahun pada 1989.
Bukan setakat pelajar termuda yang pernah memasuki Intistut berprestij tersebut, Chiang Ti Ming juga berjaya menjadi pelajar termuda yang pernah menerima Anugerah “Undergraduate Students Merit Award” selama dua tahun berturut-turut di CalTech. Memang Mat Salleh kat sana pun tak boleh lawan dengan kepandaian budak Malaysia ini.
Walaupun cerita ini sudah 10 tahun berlalu, penyebab sebenar kematian beliau tidak pernah didedahlan kepada umum. |
Tak macam admin yang pakai PTPTN untuk belajar, Chiang Ti Ming telah ditawarkan 13 jenis biasiswa dari organisasi yang berbeza untuk melanjutkan pelajaranya.
Kerana kepandaiannya yang luar biasa ini juga, dia kemudiannya melanjutkan pelajaran diperingkat PhD dalam bidang fizik zarah di Cornell Universiti, New York dan telah dilantik sebagai tetamu kehormat dalam Tau Beta Phi, iaitu sebuah persatuan kejuruteraan yang kedua tertua di dunia.
Tapi bukan senang jadi genius sebenarnya, walaupun Chiang Ti Ming berjaya menghabiskan pembelajaranya sampai peringkat PhD, dia juga telah mengalami masalah kemurungan dan tekanan jiwa yang teruk sampaikan dia dimasukkan ke HKL pada tahun 2002.
Akhirnya pada tanggal 6 Januari 2007, dia telah meninggal dunia di Seremban pada usia mencecah 33 tahun.
4. Nur Fitri Azmeer Nordin: Dipenjara sebab simpan 30,000 gambar lucah kanak-kanak
Pada tahun 2015, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan masalah budak genius. Kali ini melibatkan seorang pelajar genius Matematik tajaan MARA yang telah dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun di United Kingdom kerana kantoi memiliki 30,000 gambar lucah kanak-kanak dan ada di antaranya beliau sendiri yang ambik.
Nur Fitri Azmeer Nordin merupakan pelajar tahun ketiga di Imperial College London ketika dia ditangkap. Akhirnya Fitri sendiri mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan di hadapan Makahmah Southwark Crown, termasuk dua tuduhan mengambil gambar lucah kanak-kanak dan empat pertuduhan memiliki imej tersebut dengan niat untuk mengedarkanya.
Kami pernah siarkan tentang bahaya Pedophile dalam kalangan masyarakat Malaysia kat artikel sebelum ini. Tapi yang peliknya, menurut laporan daripada akbar huffingtonpost UK, pihak MARA sendiri tak ambik tindakan tegas terhadap pesalah ini.
Malahan dorang sanggup bagi biasiswa kat budak ini bagi meneruskan pengajianya di universiti tempatan bila dah habis tempoh hukuman penjara dengan alasan beliau seorang pelajar contoh dan asset bernilai kepada negara.
Walaupun pada mulanya pelajar genius Nur Fitri Azmeer Nordin dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun, dengan surat sokongan pensyarah, laporan psychiatric dan kelakuan baik, dia akhirnya hanya perlu menghadapi 9 bulan penjara sebelum dibebaskan. Bagaimana kesudahan kisah pelajar ini sama-samalah kita nantikan bila dia balik Malaysia nanti.
MARA bercadang untuk bagi Nur Fitri peluang ke dua belajar di Malaysia dengan biasiswa. |
5. Adi Putra: Sampai sekarang tak ada apa-apa sijil walaupun SPM
Kira-kira sedekad yang lalu negara sekali lagi terkejut dengan kemunculan seorang kanak-kanak genius yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah dalam mata pelajaran matematik seperti algebra, statistic dan trigonometri yang biasanya Dekan dekat universiti je dapat selesaikan.
Yang lebih mengejutkan, budak ini baru berumur 6 tahun tetapi kepintaranya telah berjaya menarik minat setiap golongan masyarakat dekat Malaysia pada masa tersebut. Sampaikan dia dinobatkan sebagai Ahli Matematik Islam abad ke-21 oleh Universiti Riau di Indonesia pada tahun 2009.
Adi Putra dengan bukunya Seni Matematik Islam. |
Adi juga telah menghasilkan 235 formula matematik dan 12 daripadanya telahpun diterbitkan dalam sebuah buku bertajuk Seni Matematik Islam. Bukan setakat itu sahaja, bukunya juga telah digunakan sebagai rujukan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di negara Brunei, tetapi malangnya ia masih tidak mendapat pengiktirafan di Malaysia.
Tak pasti sama ada pihak kerajaan atau budak ini yang bermasalah, pembelajaranya tidak pernah sempurna apabila sehingga kini beliau masih gagal mendapatkan apa-apa sijil akreditasi dari mana-mana intistusi pengajian tinggi negara.
Dalam temuramahnya bersama The Malaysian Insider, Adi berkata di atas faktor umurnya yang terlalu muda iaitu 6 tahun ketika mengikuti pengajian, beliau telah dinafikan hak untuk mendapatkan sijil A-level dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) walaupun telah melengkapkan semua silibus yang dikehendaki oleh universiti tersebut.
Inilah rupa Adi Putra sekarang. |
Tanpa sebarang sijil ini jugaklah beliau gagal untuk memasuki mana-mana universiti terbaik luar negara. Namun begitu, Adi Putra masih lagi seorang genius dan sering memberikan ceramah di sekolah dan universiti tempatan malahan turut menerima jemputan untuk menjadi tenaga pengajar di University of Brunei Darussalam untuk berkongsi kepakaranya dalam Matematik.
Memang beginikah nasib bila jadi genius dekat Malaysia?
Bukan semua pelajar genius dekat Malaysia ini menerima nasib yang malang. Ada juga dalam kalangan dorang yang berjaya di dalam kehidupan dan telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Sumbangan Hafizah Noor Isa yang berjaya membuktikan teori Albert Einstein berhubung gelombang gravity dan Nur Adlyka Ainul Annuar dalam kajianya tentang “active supermassive black holes” bersama National Aeronautics and Space Administration (NASA) telah membuktikan yang Malaysia sebenarnya mampu menghasilkan pelajar berkualiti tinggi dan bertaraf global.
Hafizah Noor Isa (atas) dan Nur Adlyka Ainul Annuar (bawah) merupakan pelajar genius Malaysia yang berjaya. |
Ini membuatkan kami terfikir, apa beza antara Hafizah dan Adlyka dengan pelajar-pelajar genius di atas? Apa yang kami perasan adalah kebanyakan pelajar genius tadi jadi femes pada usia yang sangat muda. Mungkinkah disebabkan harapan yang terlalu tinggi daripada masyarakat membuatkan mereka tertekan? Mungkinkah mereka kehilangan zaman kanak-kanak yang dilalui oleh orang lain?
Apa pun, kami harapkan kes-kes seperti yang terkandung dalam artikel ini dapat dikurangkan. Kita sebagai masyarakat termasuklah ibu-bapa, guru, kerajaan, termasuklah orang sekeliling perlulah memainkan peranan dalam memberi sokongan kepada mereka.
Posting Komentar