Biarpun ketika ini seluruh umat Islam menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan, namun raja keirin dunia Azizulhasni Awang tetap giat meneruskan rutin latihan hariannya di Melbourne, Australia bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kejohanan, termasuk Sukan SEA 2017 Ogos ini.
Ia dianggap satu ujian untuk Azizul berlatih di sana kerana perlu mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi ketika berlatih di samping menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar pada pukul 5.54 pagi hingga terbenam matahari jam 5.09 malam.
Di sebalik cabaran tersebut, pelumba berusia 29 tahun itu bagaimanapun mendedahkan rahsianya, bahawa dia telah beberapa kali menipu jurulatihnya John Beasley dengan mengatakan tidak berpuasa ketika perlu menjalani latihan dalam bulan Ramadan.
The Pocket Rocketman itu berkata, dia berbuat demikian agar jurulatihnya tidak bimbang terhadap kesihatannya.
Katanya, walaupun pada waktu Ramadan, bentuk latihannya tidak berubah dan kekal seperti pada bulan-bulan lain, sambil menyifatkan berlatih dengan intensiti yang tinggi tanpa makan dan minum merupakan salah satu dugaan terbesar dalam kariernya.
“Sangat mencabar (berpuasa sambil berlatih di Melbourne), tambahan pula di sini musim sejuk. Dalam velodrom lebih sejuk berbanding di luar kerana angin berkumpul di dalam bangunan.
“Bagaimanapun kita kena tahu cara yang betul dan strategi tertentu agar tidak memudaratkan diri. Tetapi saya tahu, apabila keadaan sudah melebihi had dan bila masanya saya harus berhenti berlatih atau harus berbuka puasa kerana badan hampir mencapai tahap terlampau letih.
“Semua saya belajar daripada pengalaman dan penyelidikan. Saya juga mendapat motivasi daripada perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat pada bulan puasa.
“Kalau mereka boleh melakukannya kenapa tidak kita. Memang bukan sesuatu yang mudah tetapi tidak pula mustahil, dan apa yang saya dapati adalah peningkatan kekuatan rohani dan jasmani,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, atlet dari Dungun, Terengganu itu berkata, gelaran dunia yang diraihnya sedikit sebanyak memberikan suntikan motivasi untuk dia terus gigih berlatih di samping menjalani ibadah puasa.
“Saya melihat diri saya sekarang berada di atas dan tiada tempat lain saya boleh pergi kecuali ke bawah. Jadi, saya tidak boleh leka dan perlu sentiasa berlatih dengan keras.
“Tidak ada istilah ambil mudah atau berehat kerana musuh sentiasa mengejar untuk mengalahkan kita,” katanya.
Azizul merupakan pelumba paling senior di dalam skuad elit negara yang menjadikan Melbourne sebagai pangkalan latihan mereka. Berada di negara Kangaru sejak 2007, dia sudah beberapa kali berlatih dalam bulan Ramadan selain pernah menjalani kem latihan di negara lain ketika berpuasa.
Sumber: Utusan
Sumber Azizulhasni Awang tipu jurulatih tak puasa Bagaimana Menarikkan Article Pada Hari Ini . BLUE.Jangan Lupa Datang Lagi Untuk Membaca Article Yang lebih Menarik Pada Masa Akan Datang/
Posting Komentar