PELARIAN ROHINGYA : JAUH SEKALI MEMBENCI, CUMA BERHATI-HATI
Baca:
Alhamdulillah, saya menerima jawapan balas dari Ustaz Hakim Mohd Nor, Setiausaha Serantau Muslim berkenaan posting saya tentang etnik Rohingya. Seperti yang saya katakan, saya menerima sebarang respons baik yang negatif atau positif, saya terima dengan hati yang terbuka. Saya bersyukur, kerana disebabkan tulisan saya, semakin ramai masyarakat kita yang tidak pernah ambil peduli pun, sudah mula berminat dan ramai juga yang telah menyelidiki pelbagai sumber berkenaan etnik Rohingya. Alhamdulillah, objektif utama saya tercapai. Akan tetapi, impak tulisan saya kepada penerimaan masyarakat kita terhadap Rohingya, adalah di luar kawalan saya. Bagi yang menilai bahawa tulisan saya akan membangkitkan rasa benci pada etnik Rohingya seperti yang dikatakan oleh Tengku Emma Zuriana, anda sebenarnya menganggap masyarakat Malaysia terlalu bodoh, seolah2 masyarakat kita ini cukup mudah terpengaruh dengan tulisan orang daif seperti saya.
Saya akui, banyak juga point2 disebutkan Ustaz Hakim yang saya terlepas pandang tentang faktanya. Akan tetapi, kesalahan fakta sejarah itu bukan menjadi perkara pokok kerana saya telah menyatakan bahawa tulisan saya adalah forum terbuka untuk dibincangkan bersama dan saya sedia menerima fakta yang sebenar, walaupun ada terus menghukum saya tanpa cuba memahami maksud tulisan saya. Yang mahu saya sentuh ialah mengenai PENYELESAIAN JANGKA PANJANG dan IMPAK KEMASUKAN PELARIAN ROHINGYA KE MALAYSIA dalam isu ini.
Ustaz, demi Allah dan Rasul, saya tidak pernah pun sedetik dalam hati membenci bangsa Rohingya, bangsa seakidah saya. Jauh sekali untuk menyemai perasaan benci rakyat Malaysia terhadap bangsa ini. Hanya Allah yang tahu niat saya. Yang membenci itu pun, pasti ada sebabnya. Sebab sikap etnik Rohingya yang datang ke sini. Bukan seorang dua yang membuat onar ustaz. Ustaz bacalah komen2 dan perkongsian pengalaman itu, dan nilaikan. Saya akui ustaz memang seorang manusia yang berhati mulia kerana sanggup turun ke sana atas misi kemanusiaan. Tapi ustaz, ustaz cuma melihat mereka di tanah air mereka. Tempat di mana mereka diseksa dan ditindas. Soalan saya, pernahkah ustaz melihat dan menilai sikap 40,000 Rohingya yang tinggal di Malaysia bersama rakyat kita ini sekarang?
Cuba beritahu saya, apa lagi yang kita tak buat untuk mereka ustaz? Kerajaan Malaysia dicemuh oleh kerajaan Myanmar dan dikatakan mencampuri urusan dalaman negara mereka hanya kerana kelantangan kita mempertahankan bangsa Rohingya, sehingga menjatuhkan air muka kita sebagai Pengerusi ASEAN, demi Rohingya. Saban waktu kita hantar bantuan kemanusiaan ke Rakhine, malah antara rakan2 saya yang mungkin ustaz sendiri kenali seperti Abg Mond Khalid, Ahmad Azri dan Mohd Abu Al Ghida yang bergadai nyawa menghantar bantuan ke Rakhine melalui jalan laut dengan menyertai misi Food Flood Flotilla, demi Rohingya. Setiap tahun kita mengadakan perhimpunan gergasi ribuan orang di serata Malaysia untuk menunjukkan solidariti kita, demi Rohingya. Ratusan NGO termasuk yang disertai saya sendiri mengadakan pelbagai kempen dan tabung derma kemanusiaan, demi Rohingya. Kita menerima dan melindungi 40,000 pelarian Rohingya ke negara kita walaupun kita tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 PBB, demi Rohingya. Rakyat kita melayan mereka dengan baik malah isteri saya sendiri, Aen Azmee pernah meluangkan masa menjadi tenaga pengajar di sekolah khas pelarian Rohingya, demi Rohingya. Ramai orang kita dengan niat membantu, mengupah Rohingya bekerja walaupun mereka tak layak bekerja dengan status pelarian, demi Rohingya. Setiap waktu masjid2 di negara kita membacakan qunut nazilah dan solat hajat perdana mendoakan kesejahteraan mereka malah disebut dalam khutbah2 Jumaat, demi Rohingya.
Apa lagi yang tidak kita korbankan untuk mereka ustaz? Hanya satu sahaja yang belum ustaz, iaitu tanah air kita. Ustaz, saya sudah bosan, benci dan muak dengan hipokrasi masyarakat kita yang cakap berdegar2 kononnya bersolidariti membantu Rohingya, tetapi hanya sekadar mampu share video2 dan gambar2 kekejaman ke atas Rohingya di FB, sedangkan di hati cuma ada rasa kasihan yang bertahan beberapa minit. Saya meluat dengan masyarakat kita yang share pelbagai doa untuk Rohingya di FB dan WA, sedangkan tukang share sendiri tak pernah berdoa untuk mereka. Saya sakit hati dengan mereka yang menggunakan hujah agama dari ayat Quran dan hadith yang diGoogle untuk mempertahankan Rohingya sedangkan mereka sendiri tak buat perkara2 wajib dalam agama. Saya menyampah dengan mereka yang berkata kita perlu bantu Rohingya kerana mereka Islam, sedangkan nak keluar RM1 untuk tabung masjid di tempat sendiri pun kedekut. Saya geram dengan mereka yang hadir dengan baju ‘Save Rohingya’ ke perhimpunan solidariti, sedangkan mereka sendiri tak tahu apa itu Rohingya. Tolonglah saya ustaz, tolonglah saya hentikan hipokrasi masyarakat kita ini!
Ustaz, percayalah, hipokrasi ini tidak akan sedikit pun membuat keadaan etnik Rohingya menjadi lebih baik. Konflik ini perlu diselesaikan di mana ia dimulakan, iaitu di Rakhine. Setakat mana mereka mampu lari ustaz? Kalau pun kita terima lebih ramai pelarian Rohingya di negara kita, macam mana pula nasib jutaan mereka yang masih ada di Rakhine? Ustaz, tidak ada mana2 negara yang mampu menerima 1.2 juta orang sekaligus untuk dijadikan warganegara. 40,000 itu pun kita sudah merasai impaknya di negara kita.
Ustaz, mereka datang ke sini, dengan harapan memohon status pelarian UNHCR demi mendapatkan kehidupan yang lebih baik di Malaysia. Mereka sedikit pun tidak tahu Malaysia tidak pernah menerima pelarian secara tetap kerana bukan ahli Konvensyen 1951 dan hanya boleh menjadi transit sebelum mereka dihantar ke negara ketiga yang menerima pelarian secara tetap. Mereka telah diberi maklum perkara ini sebelum diluluskan untuk menerima kad UNHCR. Bagaimanapun, kitalah negara bukan ahli yang paling bermurah hati di dunia kerana walaupun sekadar transit, kita benarkan pemegang kad UNHCR bebas bergerak di Semenanjung Malaysia, termasuk bebas mengamalkan budaya dan kepercayaan agama, mendapat potongan harga caj di hospital kerajaan sebanyak 50 peratus berbanding warga negara asing yang lain dan mempunyai akses kepada pendidikan swasta. Malahan ustaz, Mac tahun ini, kerajaan telah melaksanakan Projek Perintis Kebenaran Bekerja terhadap warga Rohingya yang memiliki kad UNHCR untuk bekerja dalam sektor perkilangan dan perladangan bagi tempoh tiga tahun.
Sedarkah ustaz, kadangkala, layanan yang mereka terima jauh lebih baik dari rakyat kita sendiri. Ustaz, selama ini, pernahkah kita merungut? Kita terima juga walau dalam hati ada sedikit pedih. Tahukah ustaz, bila kita menerima lebih ramai pelarian, apa impaknya pada negara kita? Pertama, soal keselamatan. Ustaz, mereka ini adalah etnik yang penuh trauma dan dendam terhadap sang pemerintah yang berlaku kejam dek kerana perbezaan etnik dan agama mereka, justeru, dapatkah mereka memahami konsep keharmonian berbilang kaum dan etnik di negara kita? Sedangkan 40,000 yang ada ini pun, belum mampu berintegrasi dengan baik bersama rakyat kita. Apa akan jadi sekiranya ketegangan berlaku antara rakyat kita dengan etnik Rohingya? Ustaz, di Rakhine, mereka sudah biasa diseksa, ditendang, dibakar. Apalah sangat tindakan yang boleh dilakukan anggota keselamatan kita pada mereka, sekadar menyembur water cannon, gas pemedih mata, pukul dengan belantan dan sebagainya, tidak ada kudis pada mereka ustaz. Kalau kita ambil tindakan lebih keras, kita pula yang akan dikecam dunia kerana berlaku kejam pada pelarian. Kita juga yang kena.
Kedua, impak pada ekonomi. Bila kita menerima pelarian, kerajaan kita perlu menanggung kos yang tinggi bagi mereka menikmati kemudahan yang saya telah sebutkan di atas. Sedangkan rakyat kita sendiri pun sekarang ini merungut dengan masalah kos sara hidup dan pengangguran, apa lagi kita mahu menanggung kos mengurus pelarian yang nilainya jutaan ringgit sebulan?
Ketiga, yang paling saya khuatirkan. Status kita sebagai bukan ahli Konvensyen 1951 cuma membolehkan mereka duduk di sini selama 3 tahun. Di bawah status pelarian, UNHCR mengiktiraf tiga penyelesaian jangka panjang kepada pelarian, iaitu, penghantaran pulang secara sukarela, integrasi tempatan dan penempatan semula. Saya yakin, pilihan pertama dan kedua bukan yang terbaik buat mereka. Justeru, yang ada hanya pilihan ketiga. Masalahnya, Penempatan semula bukan hak. UNHCR tidak ada kewajipan di sisi undang-undang untuk menghantar pelarian bagi penempatan semula. Malah, negara yang menerima pelarian secara tetap meletakkan syarat tertentu untuk penempatan semula yang sudah pasti tak akan mampu dipenuhi etnik Rohingya.
Lalu mereka ini akan ke mana? Apa akan jadi pada mereka? Akhirnya, dengan kebebasan bergerak yang diberi oleh kerajaan Malaysia atas status UNHCR itu, mereka akan ‘hilang’. Hilang dalam komuniti mereka sendiri di tempat2 tertentu di negara kita. Membentuk kelompok2 mereka yang tertentu, melantik ketua2, dan tanpa kita sedari mereka ini telah menjadi begitu besar hingga tak mampu kita kawal lagi. Mereka tahu, rakyat Malaysia ini terlalu bermurah hati dan sanggup berkongsi apa saja, sanggup diperbodohkan dan sanggup memberi. Sedikit demi sedikit mereka mula menjejaskan aktiviti ekonomi rakyat kita, memberi impak sosial, dan bila mereka rasa komuniti mereka sudah cukup kuat, maka mulalah mereka menuntut hak yang bukan2. Akhirnya, kerana telah terlalu selesa di tanah air kita, mereka akan lupa kesengsaraan yang masih dialami saudara mara mereka di Rakhine, tatkala rakyat kita masih sibuk melaungkan slogan ‘Solidarity Untuk Rohingya!’. Ustaz, percayalah, ‘ignorance’ kita kepada sejarah lampau serta kegagalan kita merancang masa depan akan meletakkan anak cucu kita dalam dilema kelak.
Berbalik kepada perkara pokok, perkara ini perlu diselesaikan di Rakhine, bukan di tempat lain. Kalau mereka kata mereka dikhianati British kerana Perjanjian Kemerdekaan Burma 1948, jangan lupa bahawa orang Melayu Islam di bawah kerajaan Pattani juga pernah dikhianati akibat Perjanjian Bangkok 1909. Mereka juga lemah, ditindas dan diperangi kerajaan mereka sendiri. Yang penting, perlu ada satu penyelesaian jangka panjang antara etnik Rohingya dengan kerajaan Myanmar sendiri. Kita minta kerajaan kita terus desak kerajaan Myanmar untuk benarkan kita jadi perundingcara untuk isu ini, seperti mana kita selesaikan konflik PULO di Selatan Thailand dan MILF di Filipina. Saya yakin, kalau kita hentikan hipokrasi kita ke atas etnik Rohingya dan lebih bersolidariti ke atas penyelesaian berbanding masalah, InsyaAllah, satu hari nanti Rohingya akan jadi bangsa yang bebas dan diiktiraf.
Sumber “Pelarian Rohingya, bukan membenci tapi berhati-hati” – Posting balas Mohd Faizal Zulkifly kepada ustaz ‘checkmate’ Bagaimana Menarikkan Article Pada Hari Ini . BLUE.Jangan Lupa Datang Lagi Untuk Membaca Article Yang lebih Menarik Pada Masa Akan Datang/
Posting Komentar